Intro

Sebuah coretan luahan hati dan perasaan... Mohon maaf jika terkasar bahasa, tidak terlintas untuk menyentuh perasaan semua...

Saturday 20 September 2014

Amanat Buat Diriku


Teritip di tepi kota,
Mari berkayuh sampan pengail,
Imam dan Khatib lagikan berdosa,
Inikan pula aku yang jahil.

Sesungguhnya,

Kekayaan yang paling kaya adalah akal,
Kemiskinan yang paling miskin ialah bodoh sombong,
Keburukan yang paling buruk adalah terpesona dengan diri sendiri,
Semulia-mulia kemegahan ialah akhlak yang baik.

Tiada beras, gandum kita gantikan.
Tiada emas, bongkah kita asahkan.
Tiada rotan, akar kita carikan.
Tiada kayu, buluh kita tarahkan.
Tiada air, hujan kita tadahkan.

Bila duduk, kita berguru.
Bila tegak, tegak bertanya.
Bila bercakap, cakap beradab.
Bila diam, diam berisi.
Bila musyawarah, cari muafakat.
Bila menghukum, cari keadilan.

Bergaul pada yang betul,
Berkawan pada yang sejalan,
Bersahabat pada yang bersifat,
Berguru pada yang tahu,
Meniru pada yang sejodoh,
Menelan pada yang sepadan.

Hidup ini pengalaman,
Pengalaman itu pengetahuan,
Pengetahuan itu ilmu,
Ilmu itu kehidupan,
Kehidupan itu amalan,
Amalan itu ibadah,
Ibadah itu ketakwaan.

Akan kupenuhinya, AKU PASTI!!!
IN SYAA ALLAH...



Friday 19 September 2014


Andaikan engkaulah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, 
Allah pasti akan menanam rasa kasih sayang dalam hatiku dan hatimu jua,
Itu janji Allah,
jika benar Cinta itu kerana Allah.
Maka biarkan ia mengalir mengikut aliran Allah
kerana hakikatnya ia berhulu dari Allah
maka ia pun berhilir hanya kepada Allah,
Kerana hati ini mudah dibolak balikkan,
Serahkan rasa yang tak sanggup,
jadikan halal
pada pemberi pemilikNYA,
Biarkan Allah yang mengatur semuanya
hingga keindahan itu
datang pada waktunya...